Sunday, February 27, 2011

Asal Usul Nama Kampung Perah

Tidak ramai yang mengetahui asal usul nama Kampung Perah. Generasi muda terutamanya langsung tidak mengetahui dan tidak mahu mengambil tahu sejarah pembukaan Kampung Perah.


Asal Nama Kampung Perah.
Nama Kampung Perah diambil daripada pokok "PERAH" Pokok Perah ialah satu spesies tumbuhan yang tergolong dalam famili Euphorbiaceae, dan merupakan ahli tunggal untuk genus (Elateriospermum), dan tribusnya, (Elateriospermeae). Pokok ini terdapat di Selatan Thailand sehingga Semenanjung MalaysiaMempunyai buah yang boleh beracun tetapi boleh dimakan dengan penyediaan yang betul.
"Buah perah ini berbentuk lonjong dan berwarna hitam. Saiz buahnya agak kecil kira-kira (30mm hingga 40mm). Kulitnya keras, nipis dan licin manakala isinya pejal dan keras berwarna putih. Buah ini pada asalnya di dalam satu kepompong dan mengandungi 3 biji.
Buah perah yang sudah cukup tua atau matang akan gugur ke bumi, ianya akan meletup dan berderai di udara sebelum jatuh ke bumi. Faktor angin memainkan peranan yang cukup penting dalam proses pengguguran buah ini. Selain itu faktor haiwan seperti kera atau monyet juga boleh membantu proses pengguguran buah ini.

Kulitnya sangat keras dan untuk mendapatkan isinya ia perlu diketuk bagi memecahkan kulit tersebut. Isinya jika dimakan secara mentah (tanpa diproses atau dimasak) serta secara berlebihan boleh menyebabkan mabuk atau pening kepala. Isinya bewarna putih dan keras sama seperti buah badam dan ianya boleh dimakan tetapi perlu dimasak atau diproses dengan betul. Buah ini tidak mempunyai biji.
Buah ini boleh juga di buat asam rong makanan tradisional masyarakat di negeri Pahang. Bagi sesetengah penduduk mereka membuatjeruk dengan menggunakan buah perah ini. Selain itu buah ini boleh juga dimasak atau digoreng untuk hidangan sebelah petang.
Bagi masyarakat dahulu mereka suka menjerukkan buah ini dan disimpan hingga berbulan-bulan lamanya tanpa perlu disimpan di dalam peti sejuk. Penyimpanan di dalam tempayan atau balang besar yang diisi dengan air boleh membuatkan buah ini tahan lebih lama". Sumber: WIKIPEDIA


Sejarah Pembukaan Kampung Perah

 Kampung Perah telah dibuka oleh MEKONG PAK LIAH yang merupakan seorang "Neban"/Penghulu .Beliau memulakan penerokaan hutan untuk menanam padi bendang diikuti dengan tanaman dusun sekitar tahun 1900 an. 

Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di Kampung Perah ialah serangan pengganas komunis pada 05 September 1950 yang telah mengorbankan 3 orang penduduk kampung.

Selain daripada itu, Kampung Perah juga telah ditenggelami oleh banjir besar pada tahun 1927 dan 1967 yang memaksa penduduk dipindahkan ke tempat yang selamat. Peristiwa ini berlaku sebelum Empangan Temengor dibina.

Kesan-Kesan Sejarah

Terdapat sebuah kubur lama, KUBUR TOK IMAM KUSUH yang dipelihara oleh Muzium Negara. Pada masa sekarang kubur tersebut agak terbiar. Menurut cerita lisan, Tok Imam Kusuh merupakan seorang alim yang mengembara sambil berdagang dan berdakwah. 

Menurut ceritanya, Tok Imam Kusuh dipercayai boleh mengalirkan air dari tasik kecil bagi tujuan pengairan bagi tanaman padi dengan hanya menggariskan lembing miliknya dari paya tasik ke Sungai Perak sehingga terjadi sebatang anak sungai kecil dari Bendang Berkuning.

Selain daripada itu, terdapat sebuah tempat dipanggil "KOTA" yang menjadi tempat persinggahan raja semasa hilir dan mudik di Sungai Perak. "KOTA" tersebut masih wujud sehingga ke hari ini.

Sekolah Kampung Perah (lama) terletak di seberang Sungai Perak, berhampiran "KOTA" dan Makam Imam Kusuh sebelum dipindahkan  ke Kampung Bersia

Nama-Nama Ketua Kampung Perah

1. Mat bin Mekong Pak Liah
2. Wan Teh
3. Dahaman bin Beh (1926-1961)
4. Tn. Hj. Wan Din bin Wan Isa (1962-1997)
5. Tn. Hj. Harun bin Saman (April 1998-Julai 2009)
6. En. Kamaruddin bin Mat Hashim (Julai 2009-sekarang)

Semoga dengan maklumat ini dapatlah kita semua mengetahu asal usul Kampung kita ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...