Sunday, July 31, 2011

Kenduri Memegang Puasa 1432H

Tarikh: 28 Julai 2011
Tempat: Masjid al-Wahidah, Kampung Perah

Pengisian:
-solat maghrib berjemaah
-solat hajat
-bacaan yasin dan tahlil
-solat isyak berjemaah
-jamuan- nasi minyak, dalca, jelatah.

















Monday, July 25, 2011

Aktiviti/Program sepanjang Ramadhan dan Syawal 1432H

Ramadhan Mubarak

JADUAL WAKTU BERBUKA PUASA DAN IMSAK 1432H/2011 BAGI NEGERI PERAK.

Berikut adalah jadual waktu berbuka puasa dan imsak bagi kawasan-kawasan di negeri Perak untuk tahun 1432H/2011. 
Untuk melihat jadual waktu berbuka puasa dan imsak negeri Perak bagi tahun 1432H/2011M, sila KLIK DI SINI
Berikut adalah senarai kawasan yang berada dalam zon-zon waktu di negeri Perak:
Zon 1 – Tapah, Slim River dan Tanjung Malim
Zon 2 – Ipoh, Batu Gajah, Kampar, Sungai Siput dan Kuala Kangsar
Zon 3 – Pengkalan Hulu, Grik dan Lenggong
Zon 4 – Temenggor dan Belum
Zon 5 – Teluk Intan, Bagan Datoh, Kampung Gajah, Seri Iskandar, Beruas, Parit, Lumut, Sitiawan dan Pulau Pangkor
Zon 6 – Selama, Taiping, Bagan Serai dan Parit Buntar
Zon 7 – Bukit Larut

JADUAL GILIRAN JAMUAN MOREH 1432H/2011

Dapatkan jadual giliran moreh  kariah Masjid Al-Wahidah, Kampung Perah bagi tahun 1432H/2011 

 JADUAL IMAM DAN BILAL TERAWIH 1432H/2011

Untuk melihat jadual imam dan bilal terawih, sila klik                                    DI SINI


PROGRAM SEPANJANG RAMADHAN DAN SYAWAL 1432H/2011

Untuk mengetahui program/aktiviti sepanjang Ramadhan dan Syawal 1432H, sila klik                                               DI SINI

Tuesday, July 19, 2011

Panduan Solat Terawih

PENGERTIAN SUNAT TARAWIH
Tarawih ertinya beristirehat. Ia dikerjakan selepas solat Isyak sehingga menjelang fajar. Solat Tarawih ini hanya dilakukan pada bulan ramadhan dan boleh dilakukan sama ada secara individu atau secara berjamaah. Bilangan rakaat yang dilakukan biasanya 8 rakaat dengan 3 witir atau 20 rakaat dengan 3 witir.
Sabda Rasulullah s.a.w :
Maksudnya : “Adalah Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan tetapi tidak mewajibkannya. Baginda bersabda barang siapa bangun pada bulan Ramadan (mengerjakan solat tarawih) dengan rasa iman dan mengharapkan keredhaan Allah maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.
Hukum Sembahyang Sunat Tarawih
  1. Hukumnya sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orangorang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
  2. Sunat dikerjakan di Masjid, Surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.
Waktu Sembahyang Sunat Tarawih

Ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat.
Rakaat Sembahyang Sunat Tarawih:
  1. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.
  2. Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.
  3. Pada zaman Khalifah Omar bin al- Khattab r.a. pula beliau melaksanakannya sebanyak 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orangorang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.
  4. Sembahyang sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap 8 satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.
  5. Lafaz Niat Sembahyang Sunat Tarawih:

    Ertinya:"Sahaja aku sembahyang sunat tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala."
 HADITH PALSU KELEBIHAN TARAWIH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi Wasallam serta para sahabatnya. 
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
  • Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).
  • Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
  • Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.
  • Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
  • Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.
  • Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.
  • Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya. 
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1.   Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2.   Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3.   Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4.   Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

Ramadhan Al-Mubarak


Ramadhan 1432H bakal menjelang. Sebagai persediaan menyambut bulan penuh 'barokah' ini marilah kita sama-sama membaca beberapa panduan berkaitan Ramadhan. Semoga amalan kita diterima Allah hendaknya.


PUASA DI BULAN RAMADHAN
Puasa pada bulan ramadhan adalah wajib dilakukan oleh setiap orang Islam yang mukallaf dengan dalil atau alasan:
 1. Firman Allah dalam surah Al Baqarah Ayat 183-184
Ertinya: "Wahai orang-orang yang beriman , diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu bertakwa atau terpelihara, iaitu hari yang tertentu. "

Firmannya lagi dalam Surah Al-Baqarah juga ayat 185:
Ertinya: "Sesiapa di antara kamu yang berada di bulan Ramadhan, maka hendaklah ia berpuasa."
 2. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim daripada Ibnu Umar:
Ertinya: "Islam itu dibina di atas 5 rukun: mengucap dua kalimah syahadat, 
mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, naik haji ke Baitullah dan puasa pada bulan Ramadhan. 
"
 Hukum Orang yang mengingkari wajibnya berpuasa bulan Ramadhan adalah dihukumkan 'murtad'- jelasnya keluar
         dari agama Islam. (Na'udzu billahi min dzalik 

SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA           
Syarat-syarat wajib puasa lima(5) perkara : 
 1.Islam - orang-orang kafir tidak wajib berpuasa.
 2.Sampai Umur (Akil Baligh) - kanak-kanak belum cukup umur tidak wajib berpuasa.
 3.Berakal (Siuman) - orang yang gila tidak wajib berpuasa.
 4.Kuasa(Berdaya) Berpuasa - orang sakit yang merbahaya, orang tua yang lemah dan sebagainya
tidak wajib berpuasa.
 5.Bermukim - orang yang dalam pelayaran (bermusafir) lebih dari dua marhalah tidak diwajibkan berpuasa,
tetapi wajib qadak.
               Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang bila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka
               bila berumur sepuluh tahun (kalau tidak mahu mengerjakannya)."

***


Sesungguhnya kanak-kanak tidak wajib berpuasa, tetapi adalah menjadi kewajipan kepada ibu bapa memberikan didikan dan latihan kepada anak-anak mereka untuk mengerjakan ibadah puasa dengan berpandukan sabda Nabi Muhammad S.A.W tentang latihan menunaikan sembahyang iaitu:



RUKUN PUASA
Rukun puasa ada tiga (3) : 
 1.Orang yang berpuasa.
 2.Niat.
 3.Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Keterangan-keterangan mengenai niat berpuasa :
 1.
Wajib ditakyinkan (ditentukan) jenis puasa fardu seperti Ramadhan, Nazar, Kifarah dan sebagainya.
 2.Wajib dilakukan pada waktu malam bagi puasa wajib. Ada pun puasa sunat boleh diniatkan pada siang
hari dengan dua syarat. Pertama, masanya sebelum tergelincir matahari. Kedua, belum melakukan sesuatu
yang membatalkan puasa.
 3.Menurut Imam Syafie wajib niat puasa pada tiap-tiap malam. Imam Malik pula berpendapat, boleh niat puasa
sekalian Ramadhan dengan sekali niat pada awal Ramadhan(malam pertama). Dan berhubung dengan pendapat
Imam Malik ini, kita pengikut Mazhab Syafie adalah diharuskan bertaklid dengannya.
Lafaz Niat Puasa Ramadhan
Ertinya: "Sahaja aku berpuasa esok hari kerana menunaikan fardu Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala. "




PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
Puasa akan batal dengan salah satu daripada perkara di bawah ini : 
 1.Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja.
 2.Memasukkan sesuatu ke dalam dubur(jalan belakang) atau qubul(jalan depan) dengan sengaja .
 3.Muntah dengan sengaja (jika termuntah, tidak batal puasa) .
 4.Bersetubuh dengan sengaja, sekalipun tidak keluar mani.
 5.
Mengeluarkan mani dengan sengaja atau dengan jalan bersuka-suka seperti berpeluk-cium
dan sebagainya.
 6.Kedatangan haid atau nifas.
 7.Gila walaupun hanya sekejap masa.
 8.Mabuk atau pengsan sepanjang-panjang hari, dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
 9.Bersalin.
 10.Berbuka puasa sebelum yakin terbenam matahari.
 11.Murtad - iaitu orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada dengan hati, perkataan
atau perbuatan.


PERKARA-PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA
Puasa tidak akan batal dengan perkara- perkara di bawah ini : 
 1.Menelan air liur yang bersih dan dimaafkan orang yang gusinya selalu berdarah .
 2.Bersuntik .
 3.Termasuk debu atau tepung halus ke dalam rongga.
 4.Termasuk alat atau nyamuk dan seumpamanya ke dalam rongga.
 5.
Termasuk air berkumur-kumur atau air yang dihisap ke hidung dengan tidak bersangatan.
 6.Termasuk air mandi wajib atau mandi sunat, tetapi batal puasa jika mandi bersejuk-sejuk
dan bersukaria.


PERKARA-PERKARA YANG MAKRUH KETIKA BERPUASA
Perkara-perkara yang makruh dilakukan ketika berpuasa adalah seperti berikut : 
 1.Menggosok gigi selepas gelincir matahari .
 2.Merasa makanan - kerana takut sampai ke dalam rongga.
 3.Memamah sesuatu - kerana membanyakkan air liur dan ditakuti akan tertelan.
 4.Mencium atau mengucup isteri.
 5.
Banyak berkumur-kumur .
 6.Mengelurkan darah seperti berbekam dan lainnya.
ADAB - ADAB KETIKA BERPUASA
Sesetengah daripada adab-adab yang baik bagi menambahkan kesempurnaan dan pahala puasa ialah : 
 1.Jangan banyak berludah .
 2.Jangan membuang masa dengan berbual kosong, main terup, main dam dan sebagainya.
 3.Menghindarkan diri daripada melihat perkara-perkara yang haram.
 4.Menjauhkan diri daripada sebarang pendengaran yang haram.
 5.
Jangan mengeluarkan perkataan-perkataan yang mencarut atau kotor..
 6.Menjaga tangan dari melakukan perbuatan haram dan menahan kaki daripada
berjalan ke tempat-tempat maksiat.
 7.Jangan berlebih-lebihan makan dan minum ketika berbuka puasa.
 8.Jangan boros dalam perbelanjaan makan minum dan sebagainya.
 9.Jangan banyak tidur, terutamanya waktu siang hari.

PERKARA-PERKARA YANG MENGHARUSKAN BERBUKA PUASA
Diharuskan berbuka puasa jika berlaku perkara-perkara berikut : 
 1.Kedatangan haid atau nifas(wajib berbuka) .
 2.Sakit yang membahayakan.
 3.Sakit yang tiada harapan sembuhnya.
 4.Tersangat lapar atau dahaga yang membahayakan -- mencemaskan.
 5.
Dalam perjalanan(safar) sejauh dua marhalah (kira-kira 60 batu) atau lebih .
 6.Tua yang tiada kuasa(daya) berpuasa.
 7.Kandungan dalam perut bagi perempuan.
 8.Ibu yang menyusukan anak kecil .
.
HUKUM - HUKUM KERANA MENINGGALKAN PUASA
Hukum-hukum kerana meninggalkan puasa terbahagi empat( 4 ) : 
 1.Wajib Qadak .
 2.Wajib Qadak dan Membayar Fidyah .
 3.Tidak Wajib Qadak.
 4.Tidak Wajib Qadak tetapi Wajib Membayar Fidyah.
1. Wajib Qadak dikenakan ke atas orang yang meninggalkan puasa kerana
 1.Kedatangan haid dan nifas .
 2.Sakit yang membahayakan .
 3.Tersangat lapar dan dahaga .
 4.Dalam perjalanan .
 5.Pitam.
 6.Mabuk.
 7.Mengandung .
 8.Menyusukan anak -- dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan diri masing-
.masing.
2. Wajib Qadak dan Membayar Fidyah dikenakan khusus kepada:
 1.Orang yang mengandung dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan anak
masing-masing.
 2.Orang yang menyusukan anak dan berbuka kerana bimbangkan kesihatan
anak masing-masing .
3. Tidak Wajib Qadak khusus kepada orang yang meninggalkan puasa kerana:
 1.Kafir (tidak beragama Islam) .
 2.Kanak-kanak .
 3.Gila .
4. Tidak Wajib Qadak tetapi Wajib Membayar Fidyah khusus dikenakan ke atas orang
2. yang meninggalkan puasa kerana:
 1.Sakit yang tidak ada harapan sembuhnya .
 2.Tua yang tiada kuasa (daya) berpuasa.
HIKMAT-HIKMAT PUASA
Puasa mempunyai hikmat-hikmat dan faedah-faedah yang banyak, antaranya:
Menandakan kesyukuran kepada Allah kerana nikmat-nikmat yang banyak kepada hamba-hambanya.
Melatih jiwa supaya mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang susah dan menderita.
Melatih jiwa supaya bersih daripada sifat-sifat tamak, sombong dan hasad dengki.
Melatih diri supaya bersifat sabar dan tabah menempuh ujian-ujian dalam perjuangan hidup.
Menanamkan semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan yang sama itu dapat
menimbulkan perpaduan.
Menanamkan semangat sama rata dan menjauhkan sifat membeza-bezakan di antara kaya miskin, hina mulia,
raja dan rakyat kerana sama-sama menjunjung peritah Allah.
Melatih diri supaya mempunyai peraturan-peaturan dan menghargai masa kerana puasa mempunyai batas-batas
waktu yang tertentu.
Membersihkan anggota-anggota di dalam tubuh badan dari daki-daki dan lemak-lemak makanan yang
bekerja sepanjang tahun.
Memberi kerehatan kepada alat-alat di dalam tubuh badan - terutamanya alat pengisar makanan yang
bekerja sepanjang tahun.
Memberi peluang untuk memperbanyakkan amal ibadah kerana Bulan Ramadhan mempunyai keistimewaan
yang tidak ada pada bulan-bulan lain seperti Lailatul-Qadar dan Sembahyang Tarawih.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...